Friday, 8 November 2024

Belilah Rumah Sendiri Daripada Menyewa Rumah

 02.11.2024 | Sabtu

1. Aku harini rasa terpanggil sekali lagi untuk menulis. Menulis tentang apa? Menulis tentang kepentingan memiliki hartanah ataupun rumah kediaman. Rasa terpanggil untuk menulis sebab akhir² ni aku selalu terbaca gerakan supaya "Lebih baik menyewa rumah dari membeli rumah kediaman.." 

Rumah ke-3 kami di Perak.. Alhamdulillah.. Syukur

2. Tidak pernah atau terlalu jarang kita mendengar nilai hartanah semakin merosot nilainya. Tahun ini membeli sebuah unit kediaman, tahun depan harta mesti meningkat walaupun hanya 5% daripada harga asal rumah tersebut. Ini terang tak perlu bersuluh menunjukkan bahawa nilaian hartanah di Malaysia terus mengukuh dan stabil walaupun bukan di Lembah Klang. Harini juga, kita boleh lihat, nilai hartanah di kawasan² bukan bandar utama seperti Sungai Petani, Kedah & Parit Buntar, Perak meningkat dengan mendadak. 

3. Berbalik pada gerakan menghasut supaya generasi muda atau pun golongan dewasa supaya jangan membeli rumah sendiri kerana apabila membeli rumah sendiri melalui pinjaman bank / LPPSA (bagi kakitangan awam) merugikan kerana dikenakan faedah yang tinggi. Sebagai contoh, pinjaman beli rumah RM340,000.. Bila bayar habis dengan bank ialah hampir sekali ganda iaitu kurang lebih RM650,000... Inilah yang dimaksudkan beli rumah akan merugikan pembeli jika membeli melalui pinjaman bank. Dan lagi satu, menghasut pula jika pinjam RM340,000.00, selepas bayar selama 5 tahun contohnya, bila semak dengan bank, masih ada berbaki pinjaman RM320,000+- sedangkan dah membayar dengan bank hampir RM90,000... Inilah trend terkini gerakan yang membina pemikiran jumud supaya tak perlu beli rumah. 

4. Tentang faedah bank, semestinya kita fahami sebelum membuat pinjaman bank. Bank memberikan kita sejumlah besar wang untuk kita membeli sebuah rumah, tentunya perlukan keuntungan sebab bank ini berniaga. Jika kita dilahirkan didalam golongan bangsawan, bolehlah kita membeli rumah secara tunai. 

5. Aku share ttg diri sorang kawan aku ni yang juga tinggal di kawasan Nilai. Lepas kahwin, dia sewa rumah di Sri Petaling, KL.. RM500 sebulan untuk rumah teres bersaiz kecik sangat. Selama 5 tahun dia menyewa. Akhirnya 2006 dia berjaya beli rumah teres dua tingkat berharga RM131K ketika tu. Dengan bayaran bulanan RM718/bulan. Maksudnya bila beli rumah sendiri, bayar lebih RM218 daripada rumah sewa tapi akan menjadi milik dia. Sekarang, tahun 2024, value rumah dia dah RM400K.. Dalam tempoh 17 tahun, dia bayar RM718 x 17 tahun = RM146,472..

Baki hutang dalam RM50K.. So, kalau dia jual rumah dia skrg, dia dapat tunai di tangan RM350K. Tapi setahu aku, dia masih duduk lagi rumah ni, so, maybe belum ada planning untuk jual. 

6. Situasi hari ni kita buat kiraan ringkas sebab "penghasut" suruh menyewa sambil simpan duit. Cukup duit, beli rumah secara tunai. Macam ni kita cuba kira. 

Senario: Amir berusia 26 tahun [2024] dan sudah berkahwin menyewa rumah di KL sebab penghasut tak bagi beli rumah. Dia suruh sewa rumah jer. 

✔Sewa rumah di KL = RM1000/bulan [ni kira murah]

✔Saving beli rumah = RM500/bulan [dengan andaian kalau BELI apartment/RUMAWIP di KL dengan bayaran bulanan RM1500 sebulan. 

Saving:

RM500 x 12 bulan x 25 tahun = RM150,000.00+- 

Ketika usia 51 tahun iaitu pada tahun 2049, simpanan Amir ada RM150,000 + dividen andaian RM20,000 + simpanan lain RM30,000 = RM200,000... 

Pada tahun 2049 tu, rumah apa yang boleh dibeli secara tunai dengan harga RM200,000??? Memang minta maaf la.. Tahun 2024 ni nak cari apartment RM200,000 pun susah, inikan pulak Tahun 2049. 

7. Pengajaran: Sebaiknya, Amir beli rumah ketika usia dia 26 tahun tu dengan monthly komitmen andaian RM1500 sebulan. Bila menjelang tahun 2049, ketika hampir bersara, dia mungkin boleh jual rumah dia anggaran RM400,000 dan semestinya dia boleh gunakan wang tu untuk balik kampung dan beli tanah & buat rumah. Lebih bijak begini dari berterusan menyewa. 

8. Belum lagi risiko owner yang cerewet dan owner mungkin nak jual rumah. Dah kelam kabut cari rumah lain pulak. 

9. Dan cuma peringatan. Rumah pertama kita tidak boleh dianggap sebagai aset kerana rumah itu kita sendiri nak diami melainkan kita dah meninggal dunia, dan rumah itu dijual atau sebagainya. Jika beli rumah kedua, itu baru boleh dinamakan sebagai aset sebab jika ada keperluan terdesak, kita buat cairkan aset tersebut.

10. Seboleh²nya, diusia at least 25 ~ 30 tahun, belilah sebuah rumah kediaman kerana pasangan dan anak² anda mesti impikan keselesaan kehidupan bekeluarga sendiri. Privacy itu sangat penting.

11. Yang terakhir.. Jika ditanya diri aku tentang kereta, siapa lah yang tak teringin belikan sebuah kereta idaman.. Honda CRV atau Mazda CX5 atau apa² kenderaan yang RM150K ke atas.. tapi buat masa ni, walaupun aku sudah 23 tahun ++ bekerja, masih selesa dengan kereta biasa² saja. Bayaran installment rumah di Perak boleh buat installment sebuah Honda CRV 2024. 😁😁. Tapi aku memilih utk bayar rumah. Kereta biasa² dapat + rumah pun dapat. 

Tepuk dada, tanya selera dan keperluan anda serta keselesaan keluarga anda. 

#mystory

#ceritasaya

#mynameisanuar

1 comment:

Anonymous said...

Benar