Sunday, 3 August 2025

Nak Rileks & Tenang

 03.08.2025 | Ahad

Kalau boleh, bangun pagi².. lepas Solat Subuh nak rileks² tepi sungai sambil pekena tea O dan nasi lemak bungkus daun pisang. Bila di bandar, kadang² otak jadi semak dengan keadaan lalulintas yang sesak dan keadaan tak tenteram.

Gambar ni masa aku bercuti di Rumah Sungai, Kampung Kuak, Lenggong, Perak.. Memang tenang!!

Aku pelan² menghitung hari walaupun lambat lagi untuk bersara. Dah melalui 2/3 perkhidmatan dan hanya berbaki 1/3 lagi bersamaam dengan 11 tahun untuk bersara wajib. Tapi dalam pengiraan otak aku, dalam 9 tahun lagi [kalau panjang umur la], aku dah nak mohon bersara pilihan.

Tenang itu indah

●Mohd Anuar Saed●

Friday, 1 August 2025

Cukup 3 Tahun di IPG

 01.08.2025 | Jumaat

Harini genap 3 tahun Dina di IPG. Alhamdulillah.. Berjaya mengharungi 36 bulan yang penuh dengan cabaran. Cuma berbaki lagi 1 tahun 10 bulan untuk habiskan pengajian.

Gambar ni hari ke-3 di IPG

Bulan ni jugak Dina akan melalui Praktikum Fasa 1.0 di KL. Semoga Allah SWT memudahkan urusan kamu Dina. Insyaallah

●Mohd Anuar Saed●

Monday, 28 July 2025

Balik Rumah Tronoh

 25.07.2025 | Jumaat

Lepas Solat Jumaat, packing baju sikit.. bawak mama Dina dan Dina balik ke Tronoh. Untuk cari ketenangan.. 

Memang tak dinafikan, aku dan Mama dina memang tenang pemikiran bila dapat duduk 2-3 hari di rumah Tronoh. Sekurang² boleh mententeramkan hati yang tak tenang.

Sempat jugak naik ke Nibong Tebal, jumpa kakak sulong aku. Bila takdak mak bapak, sedikit sebanyak, yang sulong jugak akan jadi rujukan kita.




Thursday, 24 July 2025

Ujian Allah

 22.07.2025 | Selasa

Harini.. kadang², tak sangka Allah bagi ujian yang besar kepada kami sekeluarga. Bukan ujian yang biasa²..

Semoga Allah mendengar & memakbulkan doa yang aku panjatkan setiap hari, setiap waktu selepas solat.

Amin³ yra


Sunday, 20 July 2025

Setiap Rezeki Ada Hikmahnya

 20.07.2025 | Ahad

Kadang², anak² bekerja dekat dengan kita [mak ayahnya] pun satu rezeki dari Allah SWT. Bila jauh dari mak ayah, kerja besar di bandar KL/Putrajaya contohnya, tapi bila mak ayah tak sihat, jarang nak berpeluang beri khidmat untuk mak ayah. Tapi mak ayah tetap bangga dengan kerjaya anaknya di bandar.

Hidup di bandar

Sebagai contoh terdekat.. Aku dah 24 tahun berjauhan dari keluarga.. dari mak ayah.. Sampai lah mak ayah aku meninggal dunia, pun aku bukan berada di sekeliling arwah mak ayah aku sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir.

Bila ditenung², bila diimbas² kembali.. Kita sebagai mak ayah, berbangga dengan anak² pandai semasa di sekolah. Bila keputusan SPM anak cemerlang, kita terus nampak masa depan yang cerah untuk anak kita. Ya lah.. sebagai mak ayah, mesti lah itu impian kita. Bila anak dah belajar ke universiti atau mana² IPT dalam dan luar negara, kita mesti bangga. Tamat belajar, anak pun bekerja di bandar. Tinggallah kita suami isteri di kampung. Sesekali, anak akan menjenguk kita di kampung. Iya lah. Bila dah berjaya tamatkan pengajian di IPT, dan bila cemerlang, dapat pula kerja² hebat di bandar tak kisah lah sektor kerajaan atau swasta, semestinya terpaksa berkhidmat ratusan kilometer jauhnya dari kediaman kita mak ayah nya.

Berbeza dengan anak² yang mungkin juga belajar, tapi belajar yang biasa². Lepas tamat belajar, bekerja lah biasa² di sekitar rumah kita. Tinggallah sebumbung dengan kita. Bila kita sakit demam, anak² yang belajar tak tinggi ni lah yang akan ada untuk bawak kita ke hospital atau klinik. Anak² yang belajar tinggi dan kerja hebat di bandar, tiada disisi kita. Mungkin belum bertolak balik ke kampung untuk menjenguk kita yang tak sihat.

Kesimpulannya.. sebagai parent, bila ditenung².. susah jugak kan? Takkanlah kita tak galakkan anak kita belajar tinggi², bak kata² yang selalu kita dengar.. "Belajarlah tinggi² hingga ke puncak menara gading.." 

Akhirnya.. berjauhan bekerja dibandar dan meninggalkan kita berdekad lamanya. Ada kalanya, biar lah anak² belajar biasa², kerja biasa² tetapi ada dengan kita disaat segera kita perlukan bantuan mereka.

Begitulah kesahnya.. "Realiti atau fantasi?" 😁😁

●Mohd Anuar Saed, Nilai●

Wednesday, 16 July 2025

Kasih Sayang Seorang Suami

 16.07.2025 | Rabu

Terbaca artikel ringkas 👇 di Facebook. Teringat masa ayah aku masih ada dulu.. Tahun 2010. Arwah mak aku 3 bulan lebih terlantar di Wad ICU Hospital Taiping.

Setiap hari ayah aku berulang-alik pi tengok isteri kesayangannya dari Bagan Serai ke Taiping sejauh lebih kurang 40km. Naik motosikal lagi sebab arwah ayah aku memang jenis berjimat cermat punya orang.. sebab dah terbiasa hidup susah sebelum ni..

Itulah mungkin cara ayah aku membalas pengorbanan mak aku sepanjang kehidupan depa sebagai suami isteri. 

Harini, kedua²nya dah tiada dimuka bumi Allah ni.Semoga arwah ayahanda dan ibunda aku ditempatkan dikalangan orang² yang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah

●Mohd Anuar Saed, Nilai●

Tuesday, 15 July 2025

Menuju Ulangtahun Perkahwinan Ke-23


15.07.2025 | Selasa



Aku dan Mama Dina bermula dari "zero". Perlahan² bina kehidupan dengan berusaha tanpa susahkan kedua² orang tua kami. Cuma harapkan kiriman doa daripada kedua² ibubapa dan rezeki dari Allah SWT. Bukan mudah membina kehidupan di Lembah Klang.

Tahun ni tahun ke-23 bersama² mengharungi susah dan senang, suka dan duka, garam dan gula, pahit dan manis dan segala²nya.

Terima kasih Allah diatas anugerah kehidupan ini.

●Mohd Anuar Saed, Nilai●

Monday, 14 July 2025

Kebaikan Aktiviti Briskwalk

 14.07.2025 | Isnin

Ternampak satu poster tentang 7 kelebihan kita melakukan aktiviti briskwalk. Aku 5x baca 7 kelebihan tu, tapi tak ada pulak yang ada tulis briskwalk akan menurunkan berat badan. Patut lah aku tak kurus² pun bila selalu jugak buat briskwalk. 🤭🤭🤭

Kadang² pula, jiran atau kawan² yang dok naik motor lalu tepi aku, sambil perli aku.. "Cikgu, lariii laa.. awat jalan saja..?" Aku biasanya senyum saja lah sebab depa tak tau, aku buat briskwalk untuk dapatkan badan yang sihat, bukan untuk kurus. Kalau kurus atau turun berat badan, itu dinamakan "BONUS".

Bila aku laki bini dok buat briskwalk, macam² hal aku boleh sembang sepanjang 3-4km kami berbriskwalk. Itu pun satu aktiviti yang baik untuk suami isteri.

So, apa lagi.. Teruskan lah apa² saja aktiviti kecergasan badan yang boleh berikan manfaat kepada tahap kesihatan kita

-Mohd Anuar Saed, Nilai-

Saturday, 12 July 2025

Malu dengan bangsa sendiri

 12.07.2025 | Sabtu | 11.30mlm

Aku di area Sri Petaling malam ni. Punyalah banyak anak² melayu bermotosikal berkumpul ramai² sejak lepas Plaza Tol Sungai Besi bawak ke Stesen Shell & Petronas lepas toll Sungai Besi.





Aku berhenti parking dekat Petronas saja nak perati anak² melayu ni. Beremba² takdak arah tujuan keliling pump petrol sampai pemandu kereta geleng² kepala tengok anak melayu ni.

Aku jangka, ada lumba haram malam ni di Lebuhraya KL Seremban. Tapi aku sebagai orang melayu malu sangat dengan anak² melayu yang meraban² pusing area stesen Petronas ni. Aku pun pernah muda remaja. Pernah pakai jugak ada motor.. Tapi takdak la jakun macam puak² ni.. 

Memang memalukan orang Melayu. 

Friday, 11 July 2025

Simfoni Budaya II di Dewan Filharmonik Petronas KLCC

 05.07.2025 | Sabtu

Pertama kali masuk ke Dewan Filharmonik Petronas KLCC sejak berhijrah ke Klang Valley / NS since 2001 😁😁. Thanks my dotter, BellaIrdina sb dah lama teringin nak bawak aku dan mama nya tengok performance orkestra dari Malaysia Philharmonic Orchestra [MPO].


Simfoni Budaya II membawa 5 orang artis sebagai penyanyi sambil diiringi alunan orkestra dibawah pimpinan Saudara Ahmad Muriz Che Rose. Bila first time aku masuk dewan Filharmonik, sangat² teruja. Dari luaran masa mula² masuk tu, aku pandang kanan dilaluan masuk hall, rasa macam aku dalam filem Harry Potter. 🤭😁🤭😁🤭😁. Begitulah terujanya aku dengan dewan yang sangat indah cun melecun dan menawan tu.



Bila start main orkestra, amboi.. Keterujaan melampau aku rasa. Ya Allah.. Sedappp yaaamat depa main orkestra. Mungkin sebab live memang lain dan berbeza kalau kita layan ikut Youtube. 3-4 hari sebelum ke show, Dina ada bukak playlist lagu Simfoni Budaya di Spotify. Punyalah mengantuk dengo lagu Irama Malaysia ketika dalam kereta tu. Tapi, bila real depan mata, depa tune muzik bagi segar, terusss sedap dengar. Suara paling best aku kat Zehra Zambri.. Memang terlontar habis voice nya aku rasa. Tak kurang hebat la yang lain macam Hazra Dollah, Daniel Cheu, Rojer dan Datuk Andre Goh. Semuanya sedap² belakar.




By the way, untuk first time masuk Dewan Filharmonik Petronas, memang aku teruja habis. Akhirnya tercapai salah satu impian Dina untuk bawak mama dan abah tengok performance orkestra di Dewan Filharmonik Petronas KLCC.

Thank you myDotter BellaIrdina ❤️❤️❤️

Monday, 7 July 2025

Dari Kolumpo ke Tronoh, Perak

 05.07 2025 | Sabtu | 

Memang best performance Malaysia Philharmonic Orchestra

Lepas melayan bestnya performance orkestra di Dewan Filharmonik Petronas KLCC, jam 10.45mlm gerak ke Tronoh. Memang dah plan nak tgk rumah S.I sebab rasa rindu rumah S.I 😁😁😁

Ini baiya ready mau mesin rumput

Sampai Tronoh dah jam 1.30am. Esok lepas Subuh, aku dah siap² standby potong rumput dan pokok² liar. Rumput x la tinggi tp aku rimas tgk. Aku memang suka tengok bersih saja laman rumah aku tu.

Lepas habis 3 bateri mesin rumput, aku dengan mama Dina saja teringin nak pi Paso Batu Gajah. Nak cari rempeyek sedap jugak sekali kalau² terjumpa. Hasil ronda di Pasar Batu Gajah, belilah sikit lauk utk masak. Seronok beli belah di pasar situ. Bukan takat udang laut, beli jugak durian kampung habuan buat kuah durian cicah roti. Macam² lagi lah beli sebab seronok nyoping paso area kampung².


Pasar Awam Batu Gajah

Kesimpulannya, biarpun penat 250km datang dari Nilai, tapi kepuasan diri sendiri yang penting. Memang tenang dan damai betul lah bila stay di Tronoh ni. Aku, mama Dina dan Dina memang enjoy duduk di sini. Alhamdulillah rezeki yang Allah SWT berikan kepada kami sekeluarga. 

Rempeyek Amir ni memang aku cari sb sedap beli masa Raya Haji haritu




Ada rezeki, teman kembali ke Tronoh yer kome. Insyaallah.


Wednesday, 18 June 2025

Perginya Seorang Sahabat & Jiran

11.06.2025 | Rabu

Jam 0920pm lebih kurang, aku dapat call dari sorang kawan bgtau Mizi accident. Accident dekat guardhouse B taman aku. Dalam fikiran aku, mungkin kemalangan biasa sebab kat situ jalan memang tak sibuk pun. Aku pun gerak ke guardhouse B. 

Di situ, masa aku sampai, ramai sangat orang dah kerumun dan ambulans baru sampai. Mangsa dibawak naik ambulans ke Hospital Tunku Jaafar. Aku dan rakan² taman masih di lokasi sambil panas bincang isu kemalangan Mizi.

Jam 10.20pm masing² beredar. Tengah rehat dirumah, tgk wasap, melalui Khairat Kematian Surau, Mizi meninggal dunia. Allahu.. Memang tak percaya sangat. Aku dengan mama Dina terkedu. Memang tak percaya. Janji Allah itu benar. Tidak lewat atau tidak cepat walau sesaat.

Jam 11.00mlm aku dengan sahabat ke Hospital Tunku Jaafar [HTJ] ke Bilik Jenazah. Sebujur tubuh kaku seolah² masih aku tak percaya Mizi dah meninggal dunia. 

Tahun 2007, kami antara 5 pintu terawal pindah masuk ke Perdana College Heights.. Kami jugak bersama² dengan kawan² j/kuasa membina ikatan masyarakat di sini dengan tubuhkan persatuan penduduk, KRT serta bina jaringan dengan NGO sekitar Nilai Mantin.

Semoga Allah SWT tempatkan Allahyarham Tarmizi Bin Harun dikalangan orang² yang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah

Salam Takziah 




Wednesday, 21 May 2025

Bila Anak Semakin Mendewasa

 21.05.2025 | Rabu

Biarpun dah 21 tahun, tetap kecik dimata mama & abah.. 😁😁😁 Dan mungkin akan sentiasa kecik dimata aku sampai sampai bila² walaupun dah berumahtangga nanti.. Hahahaha

Bak kata orang.. "Selagi boleh..."

KLIA2 sebelum berlepas ke Penang

Dulu, masa Dina kecik, aku mmg kaki merayau, melancong ke sana sini.. Kebanyakannya dalam Malaysia saja lah walaupun luar negara pun ada la jugak setakat pi Bandung, Indon & Hatyai saja.. Kalau sebut Langkawi pula, dah mcm kampung aku sb tiap² tahun kalau ada rezeki tiket mur mur, aku akan sampai ke Langkawi..

Sama jugak Kemeren Helen.. Biar lah kata org apa ada di CH, tp 1 tahun kdg² 3-4 naik CH. Dari Perlis sampai ke Johor bawak ke Sabah & Sarawak semuanya dah sampai. Banyak lah momen makang anging ketika anak masih kecik, masih sekolah.. Dah puas.. Syukur dengan rezeki yang Allah SWT bagi.. 

Harini, depa dah remaja.. dah jarang nak ikut.. Duduk hotel pun x perlu yang kolam renang. Kalau dulu mmg ya, mesti nak yg ada kolam. Zaman tu dah berakhir. Anak dah pandai jalan sendiri. Ada kalanya jalan dengan kawan². So, pergilah.. "Jaga diri mu baik².. Terbanglah ke mana saja..."

Skrg ni, aku pun jarang dah makan angin sana sini... Bila rasa nak makan angin, pi turun S.I saja.. Healing di teratak teman pun dah happy & enjoy.. Jimat duit hotel sb monthly installment tertelan ayor liur.. 😁😁

Harini juga.. buat 1st time.. Dina terbang dengan kawannye.. Terbang dengan Air Asia tiket mur mur juger.. 😁😁😁 Selamat melancong ke Penang without mama dan abah.. Kalau ada apa², tak risau sgt sebab ramai sedara mara & kawan² aku di Penang..

#mynameisanuar@mystory

Sunday, 4 May 2025

Tomyam Niase di Ipoh Memang Sedap

 02.05.2025 | Jumaat

Minggu ni kembali ke Peghak sb nak start job hari pertama kabinet dapur. Kerja² hacking dan add on wiring bermula pagi ni kata kontraktor. Minggu lepas ke Ipoh sb kena beli siap² dapur utk dapatkan ukuran sebelum hack table top. Wpun perit 2 minggu berturut² mai ke Tronoh, tapi itu memang kepakaran aku dan mem aku perabihkan petrol kereta 🤣🤣🤣. Lagipun semuanya aktiviti ni memang kami suka. Nak ride beli motor besaq, moto yg ada kat rumah pun buat pi surau saja. Ride jauh² ni pun meletihkan jugak dan aku pun dah puas ride Penang ~ Kuala Lumpur masa pakai TZM muda² dulu. Jadi, teringin nak ride tu dah takdak dalam hati [buat masa ni lerrr 😄😄]. Naik keta lebih selesa ke sana sini.. 😁😁😁

Beratur panjang beno.. Berpeluh teman 😁😁

Sambung story.. Dah ke Perak, memandangkan mem aku suka tomyam Niase & teringin nak khaomok Diana Sidek ni, maka lajak lah sikit aku ke Ipoh komer.. Masa mai Ipoh lastweek, dah pi awai ke Niase, jam 4.45pm klu x silap aku. Ingatkan kita pi awai, takdak org la.. Tapi, nohhhh.. beratuq sampai kawasan x beratap. Dengan bahang kepanasan, tak jadi lah kami pekena tomyam Niase.

Set aku pilih RM27 Tomyam Campur + bihun

Nasi Khaomok Dgg Ghimau Nangis RM23


Alhamdulillah.. Malam ni dapat makan Tomyam Campur [Udang Ayam] + bihun = RM27 & Nasi Khaomok Daging Ghimau Menangis = RM25. Tomyam pun panas ya amat. Bagus. Daging pun lembut ya amat. Bagus jugak. Overall puas hati utk malam ni. Tapi kena banyak² bersabo ler komer.. sebab beratur saja +-40minit + menunggu order siap +- 40 minit = 80 minit [1 jam 20 minit] utk tempoh kesabaran. Bila perut dah kenyang, balik lah ke Tronoh. Perjalanan Niase -->> Tronoh = 40 minit.

#mystory



Monday, 21 April 2025

Kisah Nasi Lemak Telur Mata RM4.50

Bila terbeli nasi lemak telo mata RM4.50 sebungkus baru ni, teringat aku masa dulu².. 

Walaupun RM4.50, tapi sedap 😁😁

Masa duduk di Sri Petaling, antara tahun 2002 ~ 2006/7, aku dan mama Dina selalu beli nasi lemak kat satu akak ni. Dia meniaga tepi jalan di kawasan perumahan Zon M berhampiran 7-11 berdekatan Masjid Seri Petaling. 

Masih aku ingat..

Dan seingatan aku lah.. tak pernah aku beli nasi lemak berlauk kat akak tu. Biasanya beli nasi lemak biasa saja [telur suku]. Mungkin kalau ada duit lebih, baru beli nasi lemak telur mata, tapi jarang² la sangat.. setiap kali aku pi beli, akak tu mmg tau dah.. beli nasi lemak biasa, muka akak tu choommm saja. Orang yang beli nasi lemak berlauk rendang ayam, paru, sambal udang, tersenyum sampai ke telinga akak tu 😁😁.. "Kamu ni, asyik beli nasik lemak biase jerrrr" - agaknya kata hati akak tu ler.. 😄😄

Ketika kita susah, makan lah apa yang boleh mengenyangkan walaupun tak perlu ambik lauk. Harini, aku dah jarang sangat beli nasi lemak tanpa lauk. Kadang² 2 lauk sekali naik 😁😁. Semuanya rezeki Allah SWT.. Alhamdulillah..

Jadi, nasi lemak tolo mata yang baru ni aku beli RM4.50 sebungkus, terkejut jugak la sebab jarang beli nasi lemak telo mata sahaja.. Melampau sangat akak mahalnya. Telo pun dah murah, taknak pulak turunkan harga nasi lemak.. bila harga telo mahal, kamu kata kos semua naik. Tak paham aku dengan peel peniaga jalanan yang tak sewa kedai ni. RM3.50 sebungkus memadai lah sebab tak ada costing sewa kedai.

#mynameisanuar

Thursday, 17 April 2025

Relevankah Pejabat Pos?

 17.04.2025 | Khamis

Dua hari lepas, aku renewkan insurans kereta Persona aku secara online dengan Etiqa Takaful. Memang dah menjadi rutin aku setiap tahun renew semua kenderaan aku secara online sahaja sejak belasan tahun yang lalu. Antara sebab aku buat sendiri:

1. Boleh buat sum issued ikut pilihan kita sendiri tetapi ada minima issued juga.

2. Rebat 10% terus sebelum kita buat payment. Maksudnya, kalau insurans RM1000, jimatlah RM100.

3. Jimat masa, tenaga dan petrol tanpa perlu ke Pejabat Pos atau agensi insurans. Sambil makan goreng pisang pun boleh renew.

Yang terkini... sebelum ni, roadtax kena jugak ke Pejabat Pos untuk dihidupkan walaupun buat insurans secara online. Tapi harini, aku just renewal cukai jalan secara online melalui aplikasi MyJPJ. Wowwww.. mudah sangat. 1 minit aku dah siap roadtax online aku selari dengan pendigitalan kerajaan Madani. Teknologi begini banyak membantu kita jimatkan tenaga, masa dan wang ringgit. Caj RM2 dari Pejabat Pos secara normalnya pun dah tak perlu bayar bila renew roadtax secara online.

Cuma aku terfikir.. Apalah nasib pekerja Pejabat Pos Malaysia? Apa lagi business yang POS Malaysia nak buat?

✅️Bil² utilities online

✅️Insurans online

✅️Roadtax online

✅️Withdraw ASB online

✅️Lesen memandu online

✅️Pos barang? Orang skrg ni pilih selain PosLaju skrg ni padahal dulu, Poslaju antara pioner untuk penghantaran cepat.

Begitulah kehidupan. Langit tak selalu cerah. Mungkin juga semakin ramai staf Pos Malaysia akan diberhentikan kerja. Tapi pejabat Pos di kampung² mungkin masih relevan. Masih ingat lagi dulu².. kalau masuk Pejabat Pos. Majoriti lah.. yang dikaunter, semua muka cengey² 😁😁 dan agak sombong juga bila berkomunikasi dengan kita ni yang pelanggan dia..

Untuk info, kali terakhir aku masuk Pejabat Pos bulan puasa haritu. Itupun sebab nak beli sampul raya Pos Malaysia sebab cantik. Jawapannya: Habis.. 😁😁 Memang pejabat pos yang dekat rumah aku ni, kalau tak sebut "habis", satu lagi ayat ialah , "stok tak sampai". 😁😁

Wednesday, 16 April 2025

Raya 2025 Syawal 1446H

 13.04.2025 | Ahad

Harini 14 Syawal 1446H. Dah 13 hari kita menyambut bulan Syawal yang penuh bermakna. Setiap tahun, ada saja kisah² warna warni sebelum semasa dan selepas Aidilfitri.



Tahun ni.. Kami decide untuk berhari raya dahulu di Felda Soeharto sebab Raya 2024, aku sekeluarga sambut 01 Syawal di rumah kakak aku di Nibong Tebal, Penang. Al-maklum lah.. aku ni anak yatim piatu. Mak ayah dah tak ada. Jadi beraya dimana² dahulu pun tak kisah.

Dua hari sebelum raya [Sabtu], aku dah balik ke Felda Soeharto. Balik berbuka puasa bersama ibu mentua aku. Esok nya sibuk jugak lah ke Pasar Tanjong Malim beli barangan memasak juadah raya. Tak banyak pun masak sebab ahli rumahnya tak ramai 😁😁. Berhari raya pertama di Felda Soeharto memang suasana kampung. Memang meriah. Bunga api mercun start lepas Maghrib hari Ahad tu, sampai la sebelum Subuh Isnin tu berdentam-dentum bunyinya. Dalam hati aku, kaya betoi anak² org Felda ni. Mercun bukannya murah. Yang 100 das tu mahunya ratus RM aku rasa.

Selepas layan ramai jugak tetamu yang datang rumah mentua aku dari tengah hari sampai lah ke petang. Jam 4pm, aku bertolak ke rumah kami di Tronoh sebab nak berhari raya di belah saudara aku belah utara. Raya ke-2 memang dah ada jemputan rumah terbuka Paksu aku di Gunung Rapat, Ipoh.. maka, dari raya ke-2 [Selasa] dan raya ke-3 [Rabu], aku habiskan masa beraya dengan pak saudara aku belah Perak sampai ke Pengkalan Hulu kami pi beraya. Alhamdulillah.. masih berkesempatan berhari raya dengan saudara mara. Raya 2024 dulu, masih sempat beraya dengan Mak Ngah dan Pak Jang tapi tahun ni kedua² dah tiada [Al-Fatihah utk arwah]. Tak lupa jugak ziarah pusara mak dan ayah aku di Tanah Perkuburan Masjid Sungai Dungun, Bagan Serai.

Rumah Pak Su Karia di Ipoh

Betul lah kata orang, pergi lah ke mana², rumah sendiri jugak yang lebih selesa untuk kita semua. Begitu jugak dengan mak ayah kita, kalau dtg ke rumah kita, takat 2-3 hari ok la tapi selebihnya tu mmg dah nak balik ke rumah sendiri. 

Aku tak tahu nak cakap mcm mana. Tapi sejak ada rumah di Tronoh, aku rasa seronok sangat. Rumah singgah ni bukan lah senang nak memiliki untuk orang yang biasa² mcm aku ni. Biasanya org akan buat rumah ke-2 sebagai rumah sewa ataupun sewakan sebagai homestay. Aku memang tak mahu sebab perabot dan barang² rumah yang aku beli, bagi orang pakai lepas tu aku datang pakai pulak bekas orang. Tak ada kepuasan bagi aku. Tapi masing² punya pandangan lah.

Potong rumput rumah S.I

Jadi, bermula Raya 01 sampailah Raya ke-05 aku stay di rumah Tronoh. Sambil jalan² raya, bolehlah lepak kat rumah sendiri. Potong rumput dan sebagainya. Memang rasa tenang setenang²nya bila staycation di rumah Tronoh. Tak ada fikir hal kerja, hal itu ini.. tiap² bulan atau at least 2 bulan 1 kali mesti aku balik ke Tronoh. Nikmat tu aku tak tau nak bagitau macam mana. Anda perlu buat macam aku, beli rumah sebijik buat rumah singgah, mungkin baru dapat nikmat tu 😁😁.

Bulan Mei ni mungkin balik jugak ke rumah Tronoh sebab ada projek rumah nak buat sikit. Insyaallah jika diizinkan Allah SWT.

Walaubagaimanapun, alhamdulillah diatas rezeki yang Allah SWT berikan kepada kami sekeluarga.

#mystory

Tuesday, 15 April 2025

Laporan Prestasi Kerja 2024

Aku mmg jenis x pernah kisah hal markah prestasi dalam kerjaya aku.. Tak pernah mengharapkan langsung APC.. APC sebenar bagi aku adalah kebahagian dalam kehidupan.. Ini APC yang sebenonyer.. 😁😁

Tapi kalau yg menilai [penilaian manusia], nak bagi, aku pun terima saja lah dengan hati yang terbuka sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT. Masa tahun 2008 dulu, GPK1 sek aku di Puchong jumpa aku dan kata.. "Nuar, patutnya ko yang dapat APC.. tapi.. bla.. bla.. bla.. " . Hahaha.. Dia ingat aku kisah sangat ka pasal APC.. Selagi ada keikhlasan dalam bekerja [ayat klise sikit la], tak ada pun makna APC tu sebenarnya. APC pertama aku dapat lepas 15 tahun aku berkhidmat. Its OK.. No problem. Bukan rezeki lah namanya tu..

Orang sibuk² ttg PBPPP [markah prestasi].. aku pun bukak la HRMIS sat tadi.. Alamak.. Alamak.. Alamak...... [mcm lagu ghaya] 🤣🤣🤣. Terkejut sambil terkentut aku.. 

Rekod dlm HRMIS dari 2020 -->> 2024 & di SK Batang Benar ni 1st year aku disini. Bos² SKBB bagi aku markah paling tinggi utk penilaian prestasi tahun 2024. Tahun 2020, 2021, 2022, 2023 [di SKDJ] semuanya tumpas % nyer.. Macam aku ckp tadi lah.. Alhamdulillah.. walaupun ianya sekadar angka.. Masih gosok² mata & fikir.. Betui ke ni?

Bekerjalah setakat kemampuan kita. Tak perlu terlalu "menjulang" dan jangan pula terlalu "memijak"..

#mystory

Monday, 14 April 2025

Apa Lagi Perlu Dikejar?

 14.04.2025 | Isnin

Bagi pandangan peribadi aku sendiri, untuk memandang kelebihan dunia, semakin sampai ke penghujung nya. Setiap perancangan, hanya Allah SWT yang akan menentukan. Ketika usia muda, banyak sudah Allah bantu aku perawalkan apa yang aku hajati.

Rumah pertama.. beli tahun 2006

Ketika muda [usia 20an], aku teringin beli kereta Proton Waja selepas pelancaran pertama Tahun 2000. Bila bertugas di KL tahun 2001, rasa teringin tapi belum ada kemampuan. Jadi, aku menyasarkan tahun 2006 aku mesti rasa memiliki Proton Waja. Akhirnya, Allah merealisasikan impian aku awal setahun sebab April 2005 aku dah beli Proton Waja.

Selepas Dina lahir pada Tahun 2004, aku menyewa apartment di Sri Petaling. Tahun 2004 jugak hujung² tahun mcm tu, aku pindah ke rumah teres 2 tingkat juga di Sri Petaling. Aku tanamkan impian, tahun 2007 atau awal 2008 aku nak beli rumah sendiri. Akhirnya Allah izinkan memiliki rumah sendiri dan diawalkan jugak setahun iaitu tahun 2006 kami beli rumah di Nilai, N.Sembilan.

Harini tahun 2025.. Dina pun dah berusia 21 tahun dan 2027 insyaallah akan tamat pengajian di IPG dan jika rezekinya baik, tahun 2027 nanti diusia Dina 23 tahun, dah boleh bertugas di mana² sekolah dah. Dah bekerja gomen lah waktu tu insyaallah. Maka, tamatlah tugas kami ayah dan ibu kepada seorang puteri kami dalam memberikan pendidikan sehingga peringkat ijazah sarjana muda. Selebihnya, terpulang pada Dina untuk sambung Master atau PhD.

Rumah belian ke-2 di Nilai.. Dah pun terjual

Alhamdulillah.. Rezeki Allah juga, kami pun dah hampir 2 tahun dapat kunci rumah baru di kawasan Seri Iskandar / Tronoh, Perak. Belian rumah yang tak dijangka. Juga dengan izin Allah. Kalau Allah tak izinkan, maka tak berlaku lah proses belian rumah kami di Perak ni. Rumah ni rumah ke-3 kami beli tapi rumah ke-2 di Nilai dah pun terjual. 

Rumah di Perak teman

Baru² ni juga [Januari 2025], dalam keadaan tak dijangka, beli kereta baru untuk keselesaan aku, mem aku dan Dina. Bukan sengaja beli tapi sebab sebuah kereta dah Dina gunakan di KL. Orang merantau mcm aku ni, selalu travel balik ke Perak / Penang. Kalau guna sebuah kereta sahaja, agak memenatkan kereta Almera kami tu. Jadi, dengan izin Allah jugak lah dah beli kereta baru yang agak selesa. Alhamdulillah..

Kesimpulannya.. Usia semakin ke angka 50an, nak rileks² dan tenang² saja. La ni lepas mem balik kerja, nak healing² ngetea petang sambil borak² future planning [closing ceremony] keluarga kami. 😁😁. Ada saja akai cari port healing² tiap² petang. 

✔️Anak dah nak habis belajar dan bakal jadi seorang guru KPM.. insyaallah

✔️Rumah yang tinggal sekarang selesa, alhamdulillah

✔️Rumah yang ke-2 dah hampir selesai proses jual.

✔️Rumah di Perak pun semakin selesa kalau bermalam

✔️Kereta baru pun dah ada, alhamdulillah.

✔️Pendapatan bulanan sebagai guru pun semakin baik.. syukur alhamdulillah

Bila difikirkan, tiada apa lagi yang nak dikejarkan. Aku tak pernah mengejar untuk jadi seorang pentadbir sek, atau masuk ke PPD atau JPNS atau juga KPM untuk jadi pegawai KPM disitu sebab sebesar mana pun jawatan kita dalam kerajaan, tetap kena bekerja mengikut arahan dan ketetapan kecuali buat business kecik² pun dah bagus sebab ikut planning sendiri tanpa ada arahan. Jadi, biarlah aku tamatkan karier aku sebagai seorang guru akademik biasa sahaja dengan tenang².

Dua impian yang belum tercapai.. Menunaikan umrah / haji & melihat Dina kahwin dengan suami yang baik. Mudah²an impian ini juga Allah akan tunaikan tak lama lagi. Insyaallah.

#mystory

Tuesday, 8 April 2025

Adakah Anda Perlu Kebebasan Bekerja?

Bila raya cuti seminggu, dia punya nak pi kerja semula, liat sungguh.. 😁😁😁. Bila tak cuti, menunggu² cuti.. Bila dah cuti, liat nya nak mula kerja balik. Aku rasa semua orang yang makan gaji begitulah keadaannya.

Bercakap tentang kerja, selain bekerja tetap sebagai seorang guru, aku dah banyak buat kerja part-time sejak tahun 2001 dulu. Apa kerja yang aku pernah buat selepas berhijrah ke KL? Jom aku shortlisting

1.Mengajar di pusat tuisyen

2.Mengajar home tuisyen

3.Buat sendiri kelas tuisyen di rumah & dewan org ramai

4.Salesman kereta Proton & Perodua part time

5.Buat sales kad kredit Maybank

6.Perunding Takaful [Etiqa] - tapi dulu Takaful Nasional

7.Menguruskan hal ehwal Akademi Bolasepak Fireball

 [Nasya punya idea & aku support kawan ketika itu]

8.Bantu uruskan trip sekolah lain [sekolah kawan 😁😁]

9.Pemandu Uber & Grabcar

10.Agent uruskan jual rumah kawan

Bila dah masuk tahun ke-25 berkhidmat, pelan² dah mula rasa "tepu". Bukan sebab aku menolak sebagai pentadbir sekolah, tapi dah mula bosan dengan arahan dan ketetapan masa. Kadang², aku terpikir.. macam mana lah ada yang sanggup berkhidmat sampai umur 60 tahun? Kekuatan dan jati diri apakah yang ada dalam diri depa.. Aku ni, merasakan akan bersara diusia 55 tahun walaupun aku bersara wajib diusia 56 tahun. Menunggu 1 tahun pun ibarat menunggu bom meletup. 🤣🤣🤣

Pagi tadi aku sembang dengan bini kesayangan aku.. "Abang rasa, dalam banyak² pekerjaan part-time, yang paling menggembirakan abang ialah bekerja sebagai Pemandu E-Hailing [Grab / Uber] sebab abang menikmati kebebasan bekerja"

Kebebasan waktu bekerja & tanpa arahan tetap

Serius. Memang betul. Bekerja tanpa ada ketetapan masa itu satu kenikmatan.

Pekerjaaan sebagai pemandu e-hailing sangat fleksibel time, tiada arahan tetap, boleh makan bila², boleh offline bila², boleh balik rumah bila², boleh online 24 jam tanpa henti, boleh jumpa pelbagai kerenah manusia dan kalau haritu kurang bernasib baik, tak banyak job, pun tak rasa apa² sebab gembira dalam bekerja. Cuba bayangkan, dikala hujung minggu [Sabtu & Ahad], aku sanggup bangun jam 4.00am utk mulakan online jam 4.30am. Bagi aku, awal lagi kurang persaingan pemandu dan "job" yang dapat pun bukan bilis². Kebanyakan "job jerung" yang nilainya RM50 ke atas utk 1 trip. Disebabkan enjoy dengan memandu, aku sanggup bangun awal pagi untuk buat part time sebagai pemandu e-hailing.

So, pada masa akan datang, jika panjang usia, dan berkemampuan, tak mustahil aku kembali memandu sebagai pemandu e-hailing sebagai kerjaya part time selepas bersara.